Selamat Datang ke blog Pusat Akses SK Peringgit

19.10.11

Dunia Internet

Secara mudah, Internet merupakan kumpulan rangkaian yang disambungkan bersama-sama. Internet dibangunkan di atas sekumpulan jaringan yang merangkumi seluruh dunia dan jaringan yang terbentuk tersebut mengandungi banyak jenis komputer yang berbeza. Oleh itu, sesuatu mesti ada yang membolehkan jaringan-jaringan itu dapat dirangkaikan bersama-sama. Inilah yang dinamakan TCP/IP. Aktiviti komunikasi dilakukan dengan menggunakan satu protokol utama yang dinamakan protokol kawalan transmisi/protokol Internet atau TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol), dan komunikasi wujud dalam dua hala. Sesetengah orang pula menerangkan bahawa Internet adalah satu koleksi longgar rangkaian, tapi saling bersambungan antara satu sama lain. Kedua-dua makna Internet tersebut adalah benar, namun begitu ia tidak memadai untuk menerangkan sepenuhnya mengenai Internet. Ini terjadi kerana memang agak susah untuk benar-benar mencari makna di sebalik Internet. Internet membawa makna yang berbeza bagi kumpulan pengguna yang berlainan. Kalau bertanya kepada para remaja, mereka akan mengatakan bahawa Internet adalah satu medium baru untuk berkomunikasi, melalui penggunaan e-mel dan bilik borak. Kalau bertanya kepada para peniaga, khususnya peneraju dunia perniagaan, pasti mereka menjawab bahawa Internet merupakan peralatan terkini dalam melaksanakan urusan perdagangan. Kalau kita merujuk kepada para pelajar, guru, pensyarah dan penyelidik, mereka akan berkata Internet adalah tempat yang banyak mengandungi maklumat dalam pelbagai bidang kehidupan dan teknologi. Perhatikan bahawa di sebalik semua makna Internet yang diberikan, terdapat dua tema utama, iaitu Internet dan komuniti yang terlibat. Dapat disimpulkan bahawa kedua-dua elemen alat (Internet) dan komuniti (manusia) dapat mewakilkan makna Internet tersebut. Pada pandangan pengguna Internet umum, Internet dibentuk dari rangkaian komputer yang membawa maklumat. Kecanggihan dan keajaiban Internet sebenarnya banyak bergantung kepada kandungan maklumat yang boleh dibawa bersamanya. Walaupun teknologi pembawa maklumat atau rangkaian adalah elemen asas yang membentuk Internet, namun sebahagian besar pengguna Internet tidak menghiraukan apa yang ada di sebalik tabir. Apa yang penting ialah medium ini mengandungi berjuta-juta laman web dan sumber kandungan untuk kita terokai dan jelajahi. Akhirnya Internet bukanlah sekadar rangkaian komputer dan perkhidmatan maklumat yang diberikan sahaja. Ia juga adalah bukti bahawa manusia boleh berkomunikasi secara bebas dengan kos yang amat berpatutan, tanpa mengira latar belakang sosial dan sejarah kehidupan terdahulu. Setiap orang boleh memasukinya. Anda tidak akan ditempelak kerana memakai pakaian warna lain, menganuti agama berlainan, warna kulit yang tidak serupa dan datangnya dari bahagian dunia yang berlainan. Internet secara keseluruhan merupakan satu 'dunia baru', yang mengandungi pelbagai watak kehidupan manusia. Dari satu segi Internet seolah-olah satu dunia 'pelarian' atau dunia alternatif kepada dunia nyata yang kita diami sekarang.